Monday, 20 February 2012

Dr. Mahathir - Wanted Malaysia Leaders (9 Disember 2009)

Dipetik dari topik http://forum.kelabchedet.com/kcd/modules.php?name=Forums&file=viewtopic&t=2313&highlight=tun+dr+m+di+kajang+9+disember+2009




Oleh: Beruang_putih






Salam. Berikut adalah Intipati Ucapan YABhg Tun Dr Mahathir semasa program ini. Ia bukan transkrip asal tetapi apa point2 yang disampaikan oleh YABhg Tun


1. Pada tahun 1956, masyarakat tidak begitu cenderung untuk mengambil tanggungjawab sebagai pemimpin. Mereka mengaku pada diri mereka dan orang sekeliling bahawa mereka tidak layak untuk memimpin. Mereka menyatakan mereka tidak berpengalaman, dan bermacam lagi alasan yang diberi. Apabila ditanya mengapa mereka menolak untuk menjadi calon bagi jawatan tertentu, mereka menyatakan mereka tidak layak. 

2. Sudah tentu sekarang ia sangat berbeza. Semua orang mengaku mereka layak untuk memimpin. Mereka digalakkan untuk bertanding oleh penyokong-penyokong mereka. Malah cara mereka mempromosikan diri juga sudah tidak terkawal. Pada beberapa tahun sudah, seorang Menteri Pelancongan menggunakan papan iklan ditepi jalan-jalan besar di seluruh Negara untuk mempromosikan wajah beliau. Menteri ini meletakkan gambarnya, bersama gambar Perdana Menteri ketika itu dan mempromosikan Malaysia dengan Slogan 2007 Tahun Melawat Malaysia, dengan harapan pelancong akan tertarik dengan gambar menteri tadi. 

3. Budaya. Di dalam buku The Malay Dilemma 1971, saya telah menekankan betapa pentingnya budaya sebagai factor yang menentukan berjayanya seseorang individu, bangsa, kumpulan dan Negara. Semua daripada kita mempunyai kapasiti yang sama. Tuhan tidak menjadikan saiz otak manusia sebagai kayu ukur kepada kebijaksanaan. Mereka yang mempunyai saiz otak yang besar tidak semestinya lebih bijak daripada mereka yang mempunyai otak bersaiz kecil. 

4. Kita tidak akan membangun dan maju sekiranya tidak mengamalkan budaya yang betul. Orang cina sangat maju dalam bidang perniagaan tetapi tidak melayu. Ia sangat berkait rapat dengan budaya yang di amalkan dan sistem nilai hidup kita. Seperti program ini yang secara tepat menekankan tiga elemen utama dalam menentukan kejayaan seseorang pemimpin. “Budaya, Idea, Nilai” 

5. Seperti program Biro Tatanegara (BTN), selain berperanan sebagai penyampai maklumat ia juga antara lain menekankan begitu pentingnya perubahan budaya dalam menentukan kejayaan kita. 

6. Semasa saya mengikuti kursus ini, saya dapati setiap ahli diberi amanah untuk menjaga sebiji telur dari mula program ini sehingga ianya tamat. Persoalannya mengapa telur? Sebab kita tahu telur sangat mudah pecah. Ia mengajar kita untuk tidak melakukan sesuatu perkara dengan cara yang kasar. Sekiranya kita melakukan sesuatu dengan kasar, telur tersebut mungkin pecah. Oleh itu apabila melakukan sesuatu, perlu dilakukan dengan berhati-hati, berfikir sedalam-dalamnya. 

7. Sebab itu saya tidak faham mengapa ada pihak yang berkeras mahu modul BTN diubah. Ada dakwaan mengatakan terdapat unsur politik. Saya pernah dimaklumkan oleh seorang peserta mengenai satu bengkel BTN yang disertainya. Peserta ini mendakwa pihak BTN memadam lampu dan kemudiannya terdengar suara seorang pemimpin politik yang mengatakan perkara-perkara yang baik dengan memuji diri pemimpin tersebut. Mungkin ini yang dimaksudkan BTN dijadikan alat untuk kempen politik, untuk sesetengah pemimpin. 

8. Budaya mencuri. Kadang-kadang bila kita mahu mencetak sesuatu tetapi kehabisan kertas, kita selalu melihat ke meja kawan sebelah jika dia mempunyai kertas. Dan kita ambil kertas tersebut untuk mencetak. Adakah ia satu kesalahan? Ia sudah menjadi kebiasaan yang tidak dilihat sebagai satu kesalahan akhirnya menjadi budaya. Persoalannya bukanlah berapa bernilainya sesuatu yang diambil, tetapi adakah kita mengambil sesuatu yang bukan dimiliki oleh kita? Jika ya, maka ia adalah curi. 

9. Sebab itu bila kita mahu tahu mengapa orang lain berjaya kita kena bertanya mengapa mereka berjaya. Kita melihat bagaimana Jepun berjaya bangkit menjadi kuasa kedua terbesar ekonomi dunia selepas perang dunia kedua. Kita melihat semasa zaman pemerintahan British, kereta-kereta British berjalan di atas jalan raya kita. Tetapi sekarang kita tidak lagi melihat kereta-kereta ini, tetapi yang ada adalah kereta-kereta buatan Jepun seperti Nissan, Mazda, Toyota dan sebagainya. Jepun yang sebelumnya terkenal dengan produk-produk berkualiti rendah sekarang sudah mampu bersaing dengan kereta-kereta buatan Eropah. Kereta mereka juga berada di atas jalan raya di Eropah. 

10. Budaya Malu. Kita seharusnya menanamkan rasa malu untuk melakukan sesuatu yang buruk. Masyarakat Jepun sangat malu sekiranya mereka tidak berjaya dalam bidang yang mereka ceburi. Mereka sangat malu untuk berhadapan dengan orang lain apabila gagal mencapai tujuan mereka. Mereka melakukan hara-kiri kerana malu untuk hidup. Sangat malu dan bertanggungjawab. 

11. Bahkan rakyat Jepun sangat bangga dengan apa yang mampu mereka lakukan. Mereka bangga dapat menghasilkan sesuatu produk dengan kualiti yang tinggi. Sebab itu mereka mampu bangkit daripada kehancuran akibat peperangan dan membangunkan ekonomi mereka dengan maju sekali. Kerana sikap malu dan bangga dengan kejayaan. 

12. Kita Malaysia menekankan dasar pandang ke timur. Cuba bandingkan budaya antara Eropah dan Jepun. Di Eropah, budaya mereka sudah berubah. Hak Asasi menjadi tajuk utama yang dimainkan. Semua orang bercakap mengenai pembahagian kekayaan yang adil antara yang kaya dan yang miskin. Pekerja menuntut hak mereka kepada majikan. Tuntutan diterjemahkan melalui mogok. Majikan terpaksa melayan tuntutan mereka. Walaupun mendapat apa yang mereka mahukan, ekonomi British jatuh. Dan sekarang mereka menggunakan mesin bagi menggantikan pekerja. Namun apabila mereka mempunyai Kesatuan Sekerja yang kuat, mereka memberi tekanan dengan menuntut walau syarikat terpaksa menggunakan mesin, pekerja tidak boleh diberhentikan. Ia akhirnya menyebabkan kadar produktiviti dan keberkesanan jatuh ke tahap yang rendah di sebabkan kekuatan Kesatuan Sekerja. 

13. Kita mesti tiru budaya kerja yang membawa kejayaan. Pemimpin mesti meniru budaya ini. Mesti menunjukkan nilai yang betul. Buat apa yang dikata. Sesetengah pemimpin berkata “buat apa yang saya suruh, jangan buat apa yang saya buat”. Ini tidak betul. Pemimpin perlu menunjukkan contoh untuk diikuti pengikutnya. 

14. Risiko. Pemimpin yang baik perlu berani berhadapan dengan risiko. Bukan membiarkan orang lain mengambil risiko bagi dirinya. “awak yang nak mati, bukan saya..” 

15. Saya menggalakkan rakyat Malaysia menunggang kuda, oleh itu saya juga mesti berkuda. Sekarang ini kita lihat kuda digunakan sebagai pengangkutan. Polis menggunakan kuda. Pegawai Istana menggunakan kuda. Kuda di depan Istana Negara selalu menjadi perhatian bersama penunggangnya. Ramai pelawat yang datang mengambil gambar bersama kuda tersebut. 

16. Kemudian saya mahu rakyat Malaysia memandu kapal terbang. Saya cuba juga untuk menjadi seorang pemandu kapal terbang tetapi dihalang oleh Tun Siti. Dia kata “oohh… tak payah lah.. bahaya”. Jadi saya pun ambil keputusan tak nak terbang. 

17. Arnold Schwarzenegger, Gabenor California terpalit dengan skandal yang di sensasikan untuk menjatuhkan beliau. Tetapi beliau berkhidmat dengan sangat baik sebagai seorang gabenor. Kita tidak dilahirkan untuk menjadi pemimpin, bukan lahir sahaja sudah tentu kita akan memimpin. Ia adalah sejauh mana kita berusaha ke arahnya. Oleh itu sebagai pemimpin jika kita mempunyai kisah gelap sebelum diangkat menjadi pemimpin, kisah itu akan menghantui kita dan kita mungkin akan terikat dengan ugutan-ugutan. Jika anda mahu menjadi pemimpin, sila pastikan anda berusaha untuk mengelakkan diri anda daripada banyak skandal dan kisah gelap. Kisah lampau ini akan menghantui anda. Oleh yang demikian, kita haruslah mempunyai disiplin, disiplin untuk mengawal kelakuan salah kita. 

18. Nilai Baik- ialah jangan mencuri iaitu jangan mengambil sesuatu yang bukan hak kita dan disiplinkan diri untuk mengawal tingkah laku mampu melahirkan pemimpin yang baik. 

19. “Jika pemimpin mengambil rasuah, mengapa tidak saya? Semua orang melakukannya”. Rasuah ini ada dua peringkat. Peringkat pertama adalah rasuah sorok-sorok. Di bawah meja. Bila ia dilakukan secara bersembunyi, di bawah meja, maknanya kita sedar bahawa ia adalah satu kesalahan. Kesalahan yang boleh kita betulkan. Tetapi bila ia dilakukan secara terang-terangan ia tidak lagi disedar sebagai satu perkara yang salah. Maka ia tidak boleh diubati bila ia bukanlah satu kesalahan. 

20. Ada satu Negara di mana Kerajaannya yakin sudah mempunyai jalan bagi menghapuskan rasuah. Mereka menaikkan gaji pekerja sehingga 300% supaya semua orang mempunyai cukup duit dan tidak lakukan rasuah. Tetapi apa yang berlaku selepas itu adalah semua orang merasakan yang ramai orang banyak duit maka kini rasuah bukan patut berlaku pada kadar yang rendah, tetapi mesti meminta lebih. Sekarang perlu rasuah 300%. Sebab itulah, apabila sudah menjadi budaya adalah sukar untuk dihentikan. 

21. Oleh yang demikian, pemimpin mesti 

a. Memimpin dari hadapan 
b. Menolak keburukan dan Menerima kebaikan 
c. Berada di atas kritikan 


QnA
 (Soal Jawab)

* Tak sempat capture soalan mereka kerana tiada microphone yang disediakan bg tujuan tersebut. Yang dengar hanyalah jawapan Tun

i) Perjanjian Gas Asli dan Petroleum di Sarawak. Ramai yang salah faham. Apabila kerajaan mengambil keputusan untuk memberi 5% royalty kepada rakyat Negeri Saarawak, bukanlah bermaksud kerajaan mendapat keseluruhan baki 95%. Kerajaan menerima kurang daripada itu. 

Ia adalah konsep asas perkongsian antara kerajaan pusat dan kerajaan Negeri. Pusat juga menetapkan peruntukan kepada negeri. Bermakna negeri juga bergantung kepada pusat. Keuntungan Negara banyak datang dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Dan wang ini digunakan untuk membantu negeri-negeri yang masih belum mencapai kemajuan seperti Kedah dan Kelantan. Sabah adalah antara Negara yang banyak menerima peruntukan. 

Terengganu selalu mengadu hak minyak mereka diuruskan oleh Kerajaan Pusat. Cuba lihat sekarang, di Terengganu banyak Industri membangun dengan pesat. Peluang pekerjaan dan perniagaan bertambah. Sebab itu konsep perkongsian tadi sangat penting supaya Negara dapat membangun dengan stabil. 



ii) Pekida bukanlah pertubuhan di bawah kerajaan. Ia hanya sebuah NGO. Mereka bercadang kepada kerajaan untuk memberi mereka kuasa sebagai Polis Moral. Kita menolak kerana perkara seperti ini sangat mudah disalahgunakan. Mereka selalu menyalahgunakan kuasa. Orang seperti ini tidak faham di mana had kuasa yang diberi. Jadi kerajaan tidak sepatutnya membiarkan golongan seperti Pekida melakukan perkara sesuka hati mereka. Perlu bertindak. Tapi mungkin susah juga, sebab Pekida ada ahli yang ramai dan kuat menyokong kerajaan. Dan mungkin itu yang membuatkan mereka mudah bertindak mengikut kehendak mereka. 

iii) Tekanan sebagai seorang PM. Saya tidak ada tekanan. Saya senyum, tidur, makan seperti biasa. Malah semasa menghadapi krisis pun saya masih boleh makan, minum, tidur, dan senyum. Bagaimana menghadapi tekanan? Kita mesti belajar menerima situasi bukan selalu berada dalam keadaan yang baik. Pasti ada masalah-masalah. Sesetengahnya akan dapat diselesaikan dan pergi dengan sendirinya. Berfikir terlampau banyak adalah tidak bagus. 

Kadang-kala kita fikirkan perkara yang elok yang seronok dan senyum sedikit. Saya selalu senyum lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan jurugambar. Saya suka lihat gambar saya tersenyum jadi saya mestilah senyum apabila bergambar. Pernah sekali saya menandatangani buku ucapan Takziah. Sudah tentu apabila sedang mengisi buku tersebut muka sedikit masam, sedih. Kemudian jurugambar memanggil saya, “Dato’ Seri” dan saya berpaling, dan saya senyum. Jadi tak perlu berfikir terlampau banyak dan serius, senyum sedikit dan ingatkan perkara yang bagus. 

iv) Orang Jepun kecewa dan malu bila anak-anak mereka gagal dalam pelajaran. Bahkan kanak-kanak juga mempunyai tekanan yang dasyat sehingga sanggup bunuh diri. Tentu saya tidak mahu ia berlaku di sini. Tetapi perasaan malu perlu ada dikalangan kita bila mengetahui anak gagal dalam pelajarannya. 

Budaya malu juga hadir apabila kita dapati ia adalah satu kesalahan. Contohnya membuang sampah merata-rata. Di Jepun, rakyat mereka malu untuk berada di dalam Negara yang kotor. Mereka simpan sampah mereka di dalam poket sehingga mereka terjumpa dengan tempat yang sesuai untuk membuang sampah. Di Malaysia tempat yang sesuai membuang sampah adalah di mana-mana. Di atas bas, bila tingkap terbuka dan kita pun buang sampah keluar tingkap. Kita tidak lakukan sesuatu kerana kita di ajar ia adalah salah, bukan kerana seseorang memandang kita melakukannya. 

Saya minta maaf untuk menyatakan ini. Kita melihat di pasar raya di Negara ini. Selepas waktu persekolahan anak-anak melayu lepak di kawasan ini. Tidakkah ibu bapa mereka malu? Betulkan jika saya silap. Ada tak kita lihat anak cina dan india lepak di tempat ini selepas sahaja tamat waktu sekolah? Anak cina dan india diajar untuk pulang terus ke rumah dan mengulangkaji pelajaran. 

v) DEB. Semasa tahun 1969, melayu fikir orang cina memonopoli hasil ekonomi Negara. Orang cina ada duit yang banyak sedangkan melayu tidak. Tujuan DEB adalah untuk mengurangkan jurang beza pendapatan antara kaum. Jika semua kaum mempunyai pendapatan yang tidak jauh bezanya, maka perasaan irihati antara kaum mengenai pengagihan ini sedikit sebanyak dapat dikurangkan. 

Semasa krisis ekonomi 1997, orang cina di Indonesia dijadikan kambing hitam. Harta benda mereka dibakar dan dirosakkan. Mereka dipersalahkan kerana mereka mempunyai banyak duit, lebih daripada satu kaum yang lain. Sedangkan ia bukan salah mereka. Kejatuhan ekonomi adalah sesuatu yang biasa dalam kitarannya. Tetapi kerana pengagihan ekonomi tidak adil dan saksama, maka kaum yang mempunyai pendapatan yang rendah akan menganggap mereka ditindas oleh mereka yang kaya. Sedangkan di Indonesia, bangsa mereka lebih berintegrasi. 

vi) Immigrasi. Manusia berhijrah untuk mendapatkan kehidupan yang mereka idamkan, mendapatkan hidup yang lebih baik. Biasa berlaku. Di Malaysia sekarang ramai yang bekerja di luar Negara. Gaji yang lebih tinggi. Mereka berhijrah kerana lebih selesa beradadi sana. Tetapi kita masalahnya, tidak membenarkan mereka yang “berotak” masuk ke Malaysia. Kita benarkan “Otak-otak” kita keluar. Akhirnya yang ada di Malaysia semua yang tak berotak. Dan yang kita alukan untuk hadir pula semuanya kurang berotak. Jadi kerajaan kena kaji semula polisi immigrasi supaya kita tidak kehilangan sumber untuk membangunkan Negara ini. 

No comments:

Post a Comment